Jika anda sedang membaca artikel ini, bermaksud anda berminat untuk membina kerjaya dalam bidang Separa Perubatan. Dan dalam artikel ini kami terangkan tentang beberapa kelebihan dan kekurangan memasuki Latihan Separa Perubatan.

Kelebihan Memasuki Latihan Separa Perubatan

Apa kelebihan Latihan Separa Perubatan ini sampai ramai sangat yang nak masuk?

Yuran Pengajian Ditanggung Kerajaan

Apabila anda memasuki Latihan Separa Perubatan, yuran pengajian anda akan ditanggung sepenuhnya. Anda tak perlu guna duit anda sendiri.

Berbeza jika anda belajar di kolej awam ataupun di kolej swasta. Di kolej awam dan kolej swasta, anda perlu bayar yuran pengajian anda sendiri.

Mendapat Biasiswa

Apabila anda memasuki Latihan Separa Perubatan, anda dibayar untuk belajar.

Jika anda ambil kursus peringkat diploma, anda akan menerima biasiswa sebanyak RM835.57 setiap bulan. Manakala yang di peringkat sijil pula akan menerima RM755.06 setiap bulan.

Jumlah ini lebih dari cukup untuk buat belanja jika anda berbelanja secara berhemah.

Diserap Masuk Sebagai Penjawat Awam

Apabila anda memasuki Latihan Separa Perubatan, sebaik sahaja habis belajar, peluang anda diserap sebagai penjawat awam sangat tinggi.

Walaupun begitu tiada jaminan anda akan akan dipanggil berkhidmat dengan KKM. Ini kerana sekarang ini terdapat ramai lepasan Latihan Separa Perubatan masih menunggu untuk dipanggil berkhidmat.

Disebabkan kini terdapat ramai lepasan Separa Perubatan, apabila terdapat kekosongan sudah pasti mereka yang terbaik akan dipilih.

Anda perlu ingat bahawa selepas tamat belajar, anda masih lagi perlu bersaing untuk mendapat tempat di klinik-klinik dan hospital-hospital KKM.

Oleh itu, pastikan anda menunjukkan pencapaian yang cemerlang semasa di dalam pengajian.

kelebihan latihan separa perubatan

Kekurangan Memasuki Latihan Separa Perubatan

Walaupun memasuki Latihan Separa Perubatan mempunyai kelebihan, ia juga mempunyai kekurangan. Antaranya:

Terikat Dengan Kerajaan

Selepas tamat pengajian, apabila anda berkhidmat dengan kerajaan, anda akan terikat dengan kerajaan selama 4 tahun. Anda tidak boleh berhenti kerja ataupun bekerja di sektor swasta selagi anda terikat dengan kerajaan.

Gaji Permulaan Rendah

Satu lagi, gaji permulaan apabila anda mula bekerja nanti agak rendah. Bagi yang tamat pengajian peringkat diploma, gaji permulaan anda adalah RM1797. Manakala yang tamat pengajian peringkat sijil, gaji permulaan anda adalah RM1360.

Bagi sesetengah orang gaji permulaan ini agak rendah. Lagi-lagi untuk mereka yang tinggal di kawasan bandar yang mana kos sara hidup di bandar agak tinggi.

Pengajian Peringkat Sijil & Diploma Sahaja

Latihan Separa Perubatan ini hanya menyediakan pengajian di peringkat sijil dan diploma sahaja. Tidak ada sebarang pengajian di peringkat ijazah.

Dan jika anda mahu sambung belajar, anda perlu kerja dengan kerajaan dulu baru anda boleh sambung belajar.

Penutup

Semoga artikel ini membantu anda sedikit sebanyak. Terutama sekali bagi yang mahu bekerja di sektor awam melalui Latihan Separa Perubatan.

Artikel Bersiri: Separa Perubatan:

  1. Pilihan Kursus Dalam Latihan Separa Perubatan
  2. Kelebihan Dan Kekurangan Latihan Separa Perubatan